Sejarah PSSCM UNISEL

SEJARAH PENUBUHAN PSSCM UNISEL BESTARI JAYA

Usaha menubuhkan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di UNISEL Bestari Jaya telah bermula sejak Ogos 2006. Usaha ini telah dijalankan atas daya usaha dan inisiatif beberapa orang ahli Silat Cekak yang juga merupakan pelajar UNISEL iaitu Sdr. Ghazali b. Abd Rahman dan Sdr. Habib b. Shamsudin. Pada peringkat awal usaha penubuhan, satu Jawatankuasa Penaja telah dibentuk dengan sokongan dan bantuan daripada Ustaz Kaharuddin Abdul Rahman (Penolong Setiausaha Agung PSSCM), Tn. Hj Mohd Fizol b. Mohd Saad (Penyelia PSSCM UiTM Shah Alam, Puncak Alam & Puncak Perdana) dan En. Hasrimin b Mohd Hasim (Penolong Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri) bagi merangka kertas kerja dan perlembagaan persatuan.

Setelah berusaha selama lebih 1 tahun, akhirnya pada 25 Februari 2008 (18 Safar 1429H), permohonan menubuhkan PSSCM UNISEL telah berjaya diluluskan melalui Mesyuarat Penubuhan Persatuan & Kelab Pelajar UNISEL yang dipengerusikan oleh Ybhg. Prof. Dato' Dr Mohd Razali Agus, Naib Canselor UNISEL pada ketika itu. Mesyuarat ini juga telah dihadiri oleh wakil daripada PSSCM iaitu En. Roslin b Ali Omar (Setiausaha Agung PSSCM pada ketika itu), En. Mohd Shahrem b. Ramli (AJK Pusat PSSCM) dan Sdr Habib b. Shamsudin (Pengerusi AJK Penaja). Surat kelulusan rasmi bertarikh 27 Februari 2008 dari pihak HEP telah dikeluarkan yang menyatakan bahawa penubuhan PSSCM UNISEL telah diluluskan secara sah pada 25 Februari 2008. Bermula tarikh tersebut, PSSCM UNISEL telah mula menjalankan usaha untuk pengambilan ahli baru dikalangan pelajar UNISEL.

Pada 13hb - 15hb Mei 2008, PSSCM UNISEL telah menjalankan kempen pengambilan ahli baru dengan menganjurkan Pameran Statik Silat Cekak yang pertama kali di Pusat Komuniti Pelajar, UNISEL Bestari Jaya. Pada malam 14 Mei 2008 pula, julung kalinya Majlis Penerangan dan Demonstrasi Silat Cekak telah diadakan di tempat yang sama dengan bantuan 15 orang ahli skuad demonstrasi PSSCM UiTM Shah Alam bagi mempertontonkan Seni Silat Cekak Malaysia. Berkat ketabahan dan kesungguhan ahli-ahli Silat Cekak yang ada pada ketika itu, akhirnya pada 20 Mei 2008, Majlis Ijazah Asas yang pertama telah berjaya dilaksanakan bertempat di BT 1, Fakulti Pengurusan Industri. Seramai 28 orang penuntut baru (Kekal USL-01) telah diijazahkan oleh YM Guru Utama/Presiden PSSCM, Almarhum Tn. Hj. Ishak b. Itam.

Pada 12 Ogos 2008, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali pertama PSSCM UNISEL telah berjaya dilaksanakan bertempat di BK 15 & 17, Fakulti Pengurusan Industri dan dirasmikan oleh En. Roslin b Ali Omar (Setiausaha Agung PSSCM). Jawatankuasa Penaja yang telah dibentuk sebelum itu telah dibubarkan dan melamtik Jawatankuasa yang baru sesi 2008/2009 yang diketuai oleh Yang Dipertua pertama PSSCM UNISEL, Sdr. Habib b. Shamsudin.

Penasihat pertama  PSSCM UNISEL adalah En. Hasrimin b Mohd Hasim (Penolong Pensyarah) yang merupakan bekas ahli dan AJK PSSCM UiTM Shah Alam. Seterusnya pada 12 Mei 2008, En. Zainal Azhar b Zainal Azim (Penolong Pensyarah FPI) telah dilantik sebagai Penasihat PSSCM UNISEL bagi menggantikan En. Hasrimin yang berpindah ke Putrajaya. Kemudian, tugas penasihat disambung pula oleh En. Mohd Farez b. Mohamad Taib (Pensyarah Fakulti Sains Sosial & Pendidikan) sehingga sekarang.

Dari segi pengurusan persilatan, bermula Feb 2008, En. Nazim Dzulfakar telah dilantik sebagai Penyelia Kelas pertama PSSCM UNISEL Bestari Jaya dengan dibantu oleh Tenaga Pengajar dari PSSCM UiTM Shah Alam. Seterusnya, tanggungjawab penyelia disambung oleh Tn. Hj. Mohd Fizol b. Mohd Saad dan kemudian oleh En. Azhali b. Tunggol. Pada penghujung tahun 2010, En. Rosman b. Mat Deli (Ketua Penerangan PSSCM) pula telah dilantik untuk menjadi Penyelia Kelas. Kemudian, bermula Februari 2012 sehingga kini, tanggungjawab Penyelia Kelas disambung oleh En. Mohammad Hanzlah b. Mohd Anuar.

Mulai 21 Januari 2011 pula, PSSCM UNISEL Shah Alam pula berjaya dibuka hasil usaha ahli-ahli dan pelajar UNISEL Bestari Jaya yang telah berpindah ke kampus Shah Alam. Bagi melicinkan perjalanan persatuan, ianya telah ditadbir melalui 2 pentadbiran yang berasingan iaitu PSSCM UNISEL Bestari Jaya dan PSSCM UNISEL Shah Alam.

Kini, PSSCM UNISEL Bestari Jaya terus berkembang dengan pertambahan ahli-ahli dan juga program persatuan. Konsep "BERSAMA dan BERSATU" yang disarankan oleh YM Guru Utama & Presiden PSSCM, Datuk Hj. Maideen b. Kadir Shah sentiasa ditekankan dalam apa jua aktiviti. Penerapan elemen Kemahiran Insaniah juga diterapkan dalam diri para penuntut dan AJK persatuan.




No comments:

Post a Comment